Tip Untuk Jadi Pengacara

Pengenalan

Dalam urusan kita sehari-hari, adakalanya kita diminta untuk menjadi pengacara majlis bagi sesuatu majlis yang akan berlangsung di tempat kerja seperti jamuan perpisahan, Majlis Makan Malam Syarikat, Malam Amal, Hari Kualiti, pelancaran kempen dan sebagainya. Banyak daripada kita beranggapan bahawa tugas sebagai pengacara majlis merupakan tugas yang glamour dan mudah.

Sebenarnya, tugas pengacara majlis bukanlah mudah seperti yang kita jangkakan. Hal ini kerana kelancaran, kejayaan, hidup dan matinya sesebuah majlis bergantung sepenuhnya kepada pengacara majlis. Sekiranya dalam mengendalikan majlis, pengacara majlis hilang kata-kata maka keadaan ini akan menyebabkan kelancaran majlis terganggu. Begitu juga, jika pengacara majlis tidak pandai menarik perhatian tetamu yang hadir. Hal ini akan menyebabkan tetamu berasa bosan dan akhirnya meninggalkan majlis begitu sahaja. Akibatnya, tuan rumah atau penganjur akan menanggung malu. Oleh itu, sekiranya anda terpilih untuk menjadi pengacara majlis, pengetahuan tentang tugas sebenar pengacara majlis menjadi keperluan yang amat penting.
Dalam sesuatu majlis pasti ada pelbagai jenis tamu mengikut pangkat dan kedudukan. Oleh itu, sebagai pengacara majlis, anda harus mengetahui penggilan hormat bagi seseorang tamu mengikut pangkat, darjat atau gelaran jawatan yang dijawat. Selain itu, sebagai pengacara majlis juga, anda harus mengetahui pantang larang terutama daripada segi berpakaian agar anda tidak menjadi isu dan memalukan pihak penganjur atau tuan rumah. Oleh sebab pentingnya panggilan hormat dan pantang larang daripada segi berpakaian, maka dalam bab ini akan disenaraikan panggilan hormat dan sedikit pantang larang berpakaian sebagai rujukan dan panduan para pembaca.


Panggilan Hormat

Penggilan hormat yang sesuai hendaklah digunakan terhadap orang-orang kenamaan sebagai tanda penghormatan kepada kedudukan mereka. Amat mustahak bagi seorang pengacara majlis mengetahui dan menggunakan panggilan hormat dan gelaran yang betul mengikut protokol dalam sesuatu majlis yang dikendalikan.

Panggilan hormat bagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Yang DiPertua Negeri adalah seperti berikut:

(a) Yang di-Pertuan Agong - *DYMM Seri Paduka Baginda
(b) Raja Permaisuri Agong - DYMM Seri Paduka Baginda
(c) Raja Perlis - DYMM Tuanku
(d) Sultan Kedah - Ke Bawah DYMM Al-Sultan
(e) Sultanah Kedah - Ke Bawah DYMM Tuanku
(f) Sultan Selangor - DYMM Sultan
(g) Tengku Ampuan Selangor - DYMM Tengku Ampuan
(h) Yang Dipertuan Besar - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(i) Tunku Ampuan - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(j) Sultan Pahang - Ke Bawah DYMM Sultan
(k) Sultanah Pahang - DYMM Sultanah
(l) Sultan Terengganu - DYMM Sultan
(m) Tengku Ampuan Besar - DYMM Tengku Ampuan Terengganu
(n) Al-Sultan Kelantan - Ke Bawah DYMM Tuanku
(o) Raja Perempuan Kelantan - DYMM Tengku
(p) Sultan Johor - DYMM Baginda Sultan
(q) Sultanah Johor - DYMM Baginda Sultanah
(r) Paduka Seri Sultan Perak - DYMM Paduka Seri Sultan
(s) Raja Permaisuri Perak - DYMM Raja Permaisuri Darul Ridzuan
(t) Yang DiPertua Negeri Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Tuan Yang Terutama
(u) Isteri Yang DiPertua Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Yang Amat Berbahagia

*DYMM = Duli Yang Maha Mulia

Panggilan hormat bagi orang-orang kenamaan yang lain ialah:

(a) Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(b) Isteri Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(c) Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(d) Isteri Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(e) Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berhormat
(f) Isteri Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berbahagia
(g) Menteri, Timbalan Menteri - Yang Berhormat
(h) Isteri Menteri dan Timbalan - Yang Berbahagia
(i) Tun/isteri - Yang Amat Berbahagia
(j) Tan Sri/isteri - Yang Berbahagia
(k) Datuk selain negeri Johor - Yang Berbahagia
(l) Dato’ dari negeri Johor - Yang Berhormat
(m) Raja/Tengku - Yang Mulia
(n) Isteri Raja/Tengku - Yang Berbahagia
(o) Panglima Angkatan Tentera/isteri - Yang Berbahagia
(p) Ketua Polis Negara/isteri Yang Berbahagia
(q) Ketua Hakim Negara - Yang Amat Arif
(r) Isteri Ketua Hakim Negara - Yang Amat Berbahagia
(s) Hakim Besar - Yang Arif
(t) Isteri Hakim Besar - Yang Berbahagia
(u) Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Arif
(v) Isteri Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Berbahagia
(w) Peguam Negara/isteri - Yang Berbahagia
(x) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam/isteri - Yang Berbahagia
(y) Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan/ isteri - Yang Berbahagia
(z) Ketua-Ketua Jabatan Negeri - Yang Berusaha/Yang Berbahagia


Pantang Larang

Dalam mengendalikan sesuatu majlis, seseorang pengacara majlis harus kelihatan menarik dan cantik kerana pengacara majlis merupakan orang yang menjadi tumpuan dalam majlis tersebut. Namun begitu, sebagai seorang pengacara majlis, anda harus mengetahui serba sedikit pantang larang daripada segi berpakaian.

Seorang pengacara majlis sangat dilarang memakai pakaian berwarna kuning apabila mengendalikan majlis yang melibatkan golongan atau kerabat diraja. Selain itu, jika majlis yang dikendalikan dihadiri oleh kerabat diraja dari negeri Perak, maka warna ungu juga dilarang daripada dipakai. Begitu juga dengan kain songket. Jika anda mengendalikan majlis yang mungkin dihadiri oleh kerabat raja Negeri Sembilan, anda tidak boleh memakai pakaian berasaskan kain songket.

Jadi, sebagai pengacara majlis, anda harus pandai memadankan pakaian dengan majlis yang akan dikendalikan. INGAT, anda merupakan cerminan bagi pihak penganjur atau tuan rumah.

Comments

Entri Popular