Entri Buat Arwah Mak Yang Tersayang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Buat Para Pembaca Yang Budiman...

Berat sungguh tatkala PH ingin menaip entri blog kali ini...Tetapi PH gagahkan juga sebagai catatan diari peribadi PH di alam maya ini...Blog inilah yang menjadi rentetan kronologi perjalanan hidup PH..Mungkin ada sebahagiannya boleh dijadikan iktibar buat para pembaca sekalian...

"Mak...Buat kali pertama, Amir ingin mencurahkan segala yang telah lama terbuku di hati ini...Amir terasa dunia ini seakan gelap apabila Doktor Jamil memberitahu tentang keadaan kesihatan mak...

"Mak kamu semakin kritikal...Tekanan darahnya menurun setiap hari...Kami dah cuba sedaya upaya tetapi dah 3 hari dia tak ada respon..Jika keadaan ini berterusan, mak kamu boleh 'pergi' pada bila-masa sahaja..."

Mak....Semenjak melangkah ke alam dewasa, Amir tak pernah menangis depan mak...Tetapi berita yang disampaikan oleh Doktor Jamil ibarat petir yang memanah sehinggakan tidak dapat lagi Amir tahan air mata ini dari mengalir...

Hati mana yang tidak sedih apabila melihat banyak tiub dan wayar berselirat di sekujur tubuh yang melahirkan Amir...Hati mana yang tidak pedih apabila mendengar raungan kesakitan dari mulut yang banyak mendoakan kesenangan anak-anaknya...Rasanya macam sudah tidak ada air mata untuk ditangiskan lagi...Hati Amir sayu mengenangkan jasa-jasa mak yang banyak berkorban untuk Amir dan adik-adik...Amir menyesal kerana tidak menunjukkan kasih sayang Amir pada mak selama ini walaupun di hati sangat sayang...Rasanya begitu cepat masa berlalu..


Selama ini Amir hanya bacakan Surah Al Fatihah dan Surah Yasin di belakang mak, tetapi kali ini Amir bacakan di sebelah mak...Rasanya sudah tiada suara untuk dikeluarkan dek kerana terlalu sayu melihat mak sedang nazak...Amir dan adik-adik sangat sayangkan mak...Di sebalik surah Yasin, hati ini masih berbunga-bunga untuk melihat mak sembuh kembali...Tetapi apakan daya, mak pergi jua dengan tenang di hadapan kami adik beradik serta pakcik Hashim, suami mak yang begitu banyak bersama dengan mak ketika mak sakit...Walaupun dia bapa tiri kami, tetapi kami tidak pernah menganggapnya seperti orang lain...Dia telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik...Walaupun mak nazak, tapi Amir nampak air mata mak mengalir masa Amir bacakan surah Yasin...


Kami adik beradik sangat berbesar hati dapat memandikan jasad mak...Akhirnya dapat juga kami menyempurnakan tanggungjawab terakhir walaupun ianya tidak mungkin dapat menandingi setitis susu yang mak berikan kepada kami sejak lahir...Hati ini mula tersenyum tatkala sedang mengkafankan jasad mak yang harum mewangi...Tetapi, tiba-tiba mata terasa berkaca semula apabila melihat wajah mak seolah-olah mengukir senyuman kepada kami bertiga...Barangkali mak bahagia melihat kesemua anak kandungnya memandikannya...Mak sudah sedia untuk diserahkan kepada Penciptanya...


Ayah pun datang membacakan Yasin untuk mak...Walaupun rumah tangga mak dan ayah telah lama runtuh, tetapi kami adik beradik tahu bahawa mak dan ayah masih menyayangi antara satu sama lain, cuma jodoh tidak panjang...Ayah hampir sahaja pengsan mendengar berita pemergian mak...Kami juga tahu jauh di lubuk hati ayah masih sayangkan mak...Kenangan kami adik beradik ketika mak dan ayah masih tinggal sebumbung tidak sekali-kali luput dari ingatan...Hubungan kekeluargaan kita tidak akan putus walaupun mak dah pergi buat selama-lamanya...Amir kucup muka mak semahu-mahunya buat kali terakhir sebelum wajah mak ditutup dengan kain kafan buat selama-lamanya...Cucu kembar mak juga ada melihat wajah mak buat kali terakhir walaupun tidak lama...Air mata Amir menitis ke kain kafan yang menutup muka mak...Amir rasa sangat menyesal walaupun tidak tahu apa yang dikesalkan sebenarnya...


 Satu lagi amanah terakhir yang Amir dan adik-adik perlu laksanakan...Jasad mak perlu disemadikan dengan sebaik-baiknya...Kami tidak sangka jasad mak begitu ringan ketika kami tiga beradik menurunkan mak ke liang lahad...Mak wangi sangat-sangat...Amir buka semula hijab kafan yang menutupi muka mak sebelum dihadapkan ke tanah menghadap arah kiblat...Hati ini terasa sedikit sedih kerana hanya dapat melihat muka mak dari tepi sahaja...Namun Allah itu Maha Mendengar....

Ketika sedang mengiringkan muka mak di bawah sana, tiba-tiba jam tangan Amir tersangkut pada tanah dan tapak tangan Amir terperangkap pada pipi kanan mak...Lama Amir cuba berusaha nak keluarkan tapi tak boleh...Masa tu Amir dapat merasakan bahawa mak merindui Amir dan adik-adik...Mungkin mak ingin rasa tapak tangan Amir melekap di pipi mak buat kali terakhir...Terlintas di hati Amir ketika itu betapa hebatnya kasih seorang ibu sehingga dibawa ke liang lahad...

Amir terpaksa mengangkat dan memalingkan kepala mak menghadap muka Amir semula...Dengan izin Allah, ketika itu, Amir nampak mak seolah-olah mengukir senyuman pada Amir...Bahagia sungguh hati Amir apabila melihat bibir mak mekar...Bentuk 'senyum' mak di liang lahad sama macam mak senyum ketika masih hidup...Ketika itu, ada bau harum seimbas lalu menyinggah ke hidung Amir...Pipi mak merah seperti ada mekap pemerah pipi...Bibir mak menjadi halus apabila 'tersenyum' lebar...

"Mak senyum kat Amir ke ni...?? Terima kasih mak...Mak 'tidur' yer...Amir sayangkan mak sangat-sangat...Amir akan sentiasa bacakan doa untuk mak biar mak tenang...Mak tidur yer.." kata Amir di dalam hati dengan mata yang 'berkaca'...Kepala mak Amir dah letakkan selembut-lembutnya di atas bantal yang diperbuat dari tanah...Amar di belakang Amir, Alif di bahagian kaki mak...Amar terhenti sebentar apabila ternampak wajah mak turut tersenyum...Mak seolah-olah tersenyum kepada Alif sekali yang jauh di belakang memikul kaki mak...

Terima kasih mak...Ini sahaja budi yang kami mampu laksanakan untuk mak buat kali terakhir...Amir sentiasa akan ingat senyuman terakhir dari mak...


Talkin dibaca seusai mak kami tanam...Kini mak tak perlu memikirkan soal duniawi lagi...Kami dah serahkan mak kepada Yang Maha Esa...Mak pergi dengan begitu tertib dan sempurna...Hanya doa yang kami panjatkan ke hadratNya agar roh mak tenang di sana...Setiap hari Amir dan adik-adik akan mendoakan agar rumah baru mak menjadi sebahagian dari taman-taman dan kebun syurga...Setiap hari kami akan mendoakan agar mak memperolehi kasih sayang dari Allah SWT...Walaupun mak dah pergi, tetapi bagi kami mak masih 'hidup'...Kami mengamalkan apa yang mak ajar...Kami mengikut apa yang mak nasihatkan...


 Kepada mak yang Amir sayang...Diharapkan mak sempat mengampunkan segala dosa-dosa Amir dan adik-adik kepada mak...Kami akui banyak melukakan hati mak...Namun begitu, kami semua sangat sayangkan mak...Segala kebaikan mak tidak dapat kami balas...Selain dari Allah SWT, maklah segala-galanya bagi permulaan blog ini...Maklah permulaan segala perjuangan yang Amir pikul ini...Kebanyakan nasihat yang Amir tulis di dalam blog ini juga banyak datang dari mulut mak sendiri yang Amir telah panjang-panjangkan kepada mereka yang telah membacanya...Kami sentiasa mengharapkan agar mak ke syurga Allah SWT tanpa hisab, namun segalanya adalah perhitungan antara mak denganNya...

Amir akan ceritakan kepada cucu kembar mak apabila mereka dewasa nanti...Amir akan ceritakan kepada mereka bagaimana sayangnya mak kepada cucu kembar mak...Amir akan ceritakan kepada anak-anak Amir bagaimana mak begitu menyayangi kucing jalanan yang mak kutip..." 


Insan yang bernama Allahyarhamah Kamariah Bt Abdul Rahman yang berusia 58 tahun ini adalah merupakan seorang ibu yang sangat hebat...Beliau sangat cekal di dalam menghadapi masalah duniawi, dan apa yang PH lihat zikir adalah amalan untuk mengubat hatinya yang kadangkala terkecewa...Kepada Allah dia selalu mengadu kesakitannya...Dia menyembunyikan segala keperitan yang dilalui dari diketahui oleh anak-anaknya agar anak-anaknya tidak risau...Tanpa arwah, tidak mungkin blog ini akan wujud...Arwah bonda PH sangat kasihkan haiwan dan selalu mengutip kucing di tepi jalan...Amir adalah nama manja yang mak beri pada PH sejak kecil lagi...


Nota PH : 

Bonda PH meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2013 jam tepat jam 11 malam di hadapan PH dan adik-adik serta suaminya...Beliau meninggal dunia akibat kanser ovari dan jangkitan virus...Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sg Lalang, Semenyih...

Sehubungan dengan ini, PH ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Doktor Jamil serta pasukan perubatannya, Unit Forensik Hospital Ampang, Haji Amir, Haji Ariffin aka Pakcik Ipin Semenyih, Saudara Imar, Saudara Iwa, Pak Ya Sunway Semenyih, jemaah Sejati 99 dan seluruh sanak saudara yang hadir di hospital dan juga majlis pengebumian bonda PH...

Sekiranya kalian terbaca atau terjumpa entri ini, jika ada kelapangan mohon sedekahkan surah Al-Fatihah dan Surah Yassin kepada arwah...

"Mak...Amir, Maya, cucu kembar mak iaitu Along, Angah, Amar, Yati dan Alif akan sentiasa mendoakan kesejahteraan mak di sana...Semoga roh mak tenang dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman...Amin.."

Al-Fatihah...


Hargailah jasa ibu selagi hayat mereka masih ada...Doa dari kita adalah bekal untuknya di dalam kubur nanti...

Comments

Entri Popular