Kucing, Ikan Rebus dan Makanan Berjenama Mahal

Assalamualaikum dan Salam Pencinta Haiwan Buat Para Pembaca Yang Budiman...

Tak sangka akhirnya dapat juga kita bersama-sama menikmati keindahan Ramadhan Al Mubarak ini...Tatkala kita berasa susah, maka di bulan inilah kita akan sedar bahawa ada insan dan makhluk lain yang lebih susah dari kita...PH sangat bersyukur dengan apa yang PH ada sekarang...Tetapi, semakin banyak benda yang kita ada, maka semakin banyaklah komitmen yang perlu diberi...Bak kata pepatah Melayu "Besar periuk besarlah keraknya..."..Hmmm...Kata pujangga ini tersangatlah benarnya...Generasi orang Melayu dahulu kala sangat arif soal kehidupan...Makan minum serta tempat tinggal semuanya serba sederhana dek kerana kekangan ekonomi...

PH masih ingat kata-kata Pengetua sekolah PH masa di SAAS Kajang dulu iaitu Pn Hajah Engku Tik Azizah...

"Generasi kami yang dahulu adalah generasi ubi kayu...Ubi kayu ni nak buat apa pun semuanya boleh..Nak masak boleh, nak buat kayu api boleh..Nak buat ganti nasik pun boleh...Kami semua belajar bagaimana nak survive...Tapi zaman sekarang ni adalah zaman burger...Takde nasik pun burger ada di merata-rata...Pendek kata, semuanya terhidang di depan mata...Maka bersyukurlah dengan apa yang mak dan ayah kamu bagi...Ini tidak...!!! Mak ayah beri duit suruh beli buku dia pergi ponteng sekolah main snuker beli rokok lepas tu belanja makwe..."

Amacam..?? Makan dalam tak..??


Masa PH sekolah dulu, di antara rutin harian PH lepas balik sekolah ialah rebus ikan dan masak nasi untuk kucing...Tiada apa yang menarik berlaku dalam hidup remaja PH...Menu kucing pada waktu siang PH yang uruskan sebab mak dan ayah keluar bekerja...Pada malam harinya mak dan ayah PH pula mengambil alih tugas memberi kucing makan...Masa tu kami tidak pandai untuk membeli makanan kucing yang mahal-mahal...Kami tidak pernah kenal apa itu Royal Canin ataupun Sportsman Pride...Yang kami kenal hanyalah Friskies...


PH pernah mencadangkan ayah untuk menukar menu makanan kucing kepada  makanan yang mahal sikit, tetapi ayah PH pernah berkata :

"Kucing ni sebenarnya tidak minta pun makanan yang sedap-sedap dari kita...Pada mereka, asalkan ada benda elok yang boleh dimakan itu sudah memadai sebab mereka pun reti bersyukur...Makanan mahal ni kadang-kadang tak elok untuk kucing sebab takut badan mereka tak serasi...Tapi kalau ada rezeki lebih nanti ayah belikan makanan yang elok sikit untuk mereka yer..."

Ayah berkata sedemikian sambil membelai arwah kucing PH yang bernama Si Moon, yang dikutip oleh ayah di pasar...Arwah Moon mati kerana sakit tua...10 tahun dia tinggal bersama PH...Pemergiannya sangat dirasai oleh kami sekeluarga...Selama 10 tahun itulah makanan kegemarannya ialah nasi putih yang digaul dengan ikan kembung rebus...Kalau ada rezeki lebih, ayah membelikan ikan tongkol ataupun tenggiri untuk mereka...Ada juga ayah membelikan makanan mahal di dalam bungkusan 'Original Pack' tetapi kekerapannya boleh dibilang dengan jari...Ayah selalu mengajak ibu PH pergi ke Petshop untuk membeli makanan kucing berjenama apabila mendapat bonus gaji tahunan...

PH masih ingat kata-kata ayah PH sehinggalah sekarang...Kucing-kucing yang pernah PH bela masa kecik-kecik dulu sangat sihat dan gemuk...


Ketika itu ( sekitar tahun 1990an ) kami tidak pernah mengenali mana-mana doktor haiwan, apatah lagi untuk mendalami ilmu kehaiwanan...Ketika itu tidak banyak saluran untuk menimbulkan kesedaran tentang kebajikan haiwan seperti sekarang...Kalau ada kucing yang sakit kebanyakannya dirawat dengan sendiri...Tetapi kucing-kucing yang pernah kami pelihara dulu sangat jarang sakit...Vaksin pun tidak pernah, apatah lagi membawa kucing ke klinik haiwan ( itu dululah yer )...Kalau ada kucing yang patah kaki, ayah selalu mengurutnya dengan minyak gamat dan Alhamdulillah kesemua mereka yang diurut ayah telah sembuh walaupun ada yang berjalan tempang...


Kalau kita ada rezeki yang lebih, tidak salah kalau kita laburkan sedikit untuk kucing-kucing kesayangan kita mahupun kucing-kucing jalanan...Ianya adalah tergolong di dalam ibadah juga...Amal jariah yang kita sumbangkan sudah pastinya akan mendapat natijah yang sangat baik di sisi Allah SWT sekiranya niat kita tatkala melakukannya adalah semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya...


Kini zaman telah berubah...Banyak betul perubahan yang berlaku di zaman milennium ini...Banyak ilmu-ilmu kehaiwanan telah dipelajari oleh sebilangan kita lalu menjadi doktor haiwan...Sudah banyak saluran yang telah menguar-uarkan tentang betapa pentingnya menjaga kebajikan haiwan...Tidak seperti dulu di mana tidak banyak klinik haiwan dibuka...Justeru itu, apakah tindakan kita apabila menyedari perubahan telah berlaku...?? Adakah relevan untuk kita mengekalkan cara-cara orang dahulu memelihara kucing...??


Pada hemah PH secara peribadi, perubahan itu berlaku bukan setakat cara mengendalikan untuk kucing...Tetapi ianya merangkumi aspek-aspek ekonomi dan gaya hidup kita...Ramai manusia ingin menikmati gaya kehidupan moden walaupun masih dikategorikan golongan orang yang berpendapatan rendah atau sederhana...Kehendak nafsu jika tidak dikawal akan memudaratkan...Tambahan lagi bermacam-macam lambakan gajet yang kini berada di pasaran...Oleh kerana ini, ramai manusia yang tewas ditenggelami hawa nafsu...

Bab pengurusan kewangan peribadi tidak perlu PH rungkaikan di sini...Cuma, PH ada sedikit senario untuk direnungkan bersama...Adakalanya kita terlupa bahawa wang yang kita gunakan itu adalah menuju pembaziran yang nyata...Mustahil tiada orang yang tidak menyedarinya...PH ingin mengambil satu kisah benar yang berlaku kepada PH dan seorang kawan PH ni...Segala serba serbi kehidupannya tampak seperti seorang yang berjaya...Berkereta besar dan memakai telefon bimbit pintar yang mahal harganya...Terasa kecil diri ini kalau nak dibandingkan dengannya...PH tahu pekerjaan beliau sebagai seorang penyelia di sebuah kilang...Mungkin gajinya besar...


Pertemuannya dengan PH baru-baru ini sungguh bermakna..Sudah lama PH tidak berjumpa dengannya...Tetapi apa yang PH kesalkan sedikit ialah dia mengeluh terhadap kucing-kucing peliharaannya...Diceritanya kucing betina yang dipeliharanya selalu beranak pinak sehingga menjadi semakin banyak...Ibunya sudah mula merungut dan mengugut untuk membuang kesemua kucing-kucing tersebut ke pasar...PH menyarankan kepadanya agar dimandulkan kucing-kucing tersebut secara berperingkat mengikut kemampuan tetapi banyak pula alasan yang diberikan...Maka berlakulah sedikit perdebatan tentang halal dan haram tentang isu memandulkan kucing...Dan yang paling menyedihkan PH pula dicadangkan untuk dijadikan tempat untuk membuang kucing-kucing yang tidak diperlukannya lagi kerana dia tahu tentang Papa Hero...Namun begitu beliau tidak tahu yang PH dah ada Cat Village...Tetapi setelah PH menasihatinya secara baik, Alhamdulillah dia sudah mula berminat untuk bertanya tentang klinik haiwan mana yang boleh memandulkan dan memvaksinkan kucing dengan kadar yang berpatutan...Dia kata dia selalu memberikan kucing-kucingnya makan ikan rebus dan PH kata :

"Bro...Kalau itu yang kau mampu bagi, tak salah asalkan derang dapat makan...Tapi kalau kau ada rezeki lebih, cubalah bagi makanan yang elok sikit...Dua bulan sekali pun tak apa..."

Dari fakta percakapannya, PH tahu cara dia memelihara kucing adalah mengikut cara orang zaman dahulu ( mungkin juga kedua orang tuanya )...Bagi PH ianya adalah RELEVAN walaupun di zaman moden kini...Dia juga sudah mulai sedar tentang kesilapannya di dalam cara mengendalikan kucing...


PH hampir pasti kalian mesti pernah mengalami situasi ini di mana apabila seseorang meminta pendapat dari kita, kita pula yang dimarahi apabila mengeluarkan pendapat ataupun jalan penyelesaian...PH pernah terbaca ayat-ayat dari Robert T Kiyosaki ( kalau tidak silap ) - Setiap manusia yang bertanya jalan penyelesaian masalahnya kepada orang lain sebenarnya tahu jalan penyelesaian masalah tersebut...Mereka cuma inginkan perhatian...

Samada ayat di atas benar atau tidak, bagi PH ianya ada benarnya walaupun mungkin tidak 100%...PH lebih percaya kepada hadis-hadis sahih yang datang dari lidah Rasulullah SWT tentang sedekah dan amal jariah...

"Nafkahkanlah dan jangan kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan ( tidak mengeluarkannya ) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya..."

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim 

Membantu memberikan jalan penyelesaian kepada orang lain juga adalah salah satu sedekah amal jariah secara 'ghaib' yakni sedekah yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar...Kita wajib membantu sedikit sebanyak terhadap orang yang ingin meminta bantuan walaupun dari segi buah pemikiran...Sebabnya, suatu hari nanti kita pun pasti akan memerlukan seseorang untuk dijadikan tempat rujukan sekiranya kita menghadapi masalah...Kita juga wajib menyampaikan buah pemikiran atau ilmu ( yang benar ) yang kita tahu kepada orang yang tidak tahu...Itulah maksud ayat hadis di atas ( yang PH faham ) tentang ayat 'janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan' yang dimaksudkan ( betulkan sekiranya PH salah yer )...Sesungguhnya hadis-hadis dari bibir Rasulullah SWT ni sangat luas pengertiannya...Rupa bentuk amal jariah juga sangat pelbagai...

Oleh itu, kesabaran dan fokus pada fakta adalah sangat dituntut ketika memberikan hujah balas demi menjaga silaturahim sesama kita...Janganlah kerana kucing beranak kita semua nak bergaduh sesama sendiri dan bermasam muka...Itu sangatlah tidak sihat...


Nota PH :

Kesimpulannya di sini, tidak salah kalau kita membelanjakan wang untuk menjalani kehidupan gaya moden..Akan tetapi, biarlah berpada-pada...Kalau boleh, peruntukkan sedikit wang pada setiap bulan untuk kebajikan kucing-kucing kita...Mandulkan seekor demi seekor pada setiap bulan mengikut kemampuan...Ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan populasi kucing jalanan akibat dibuang oleh pemiliknya...


Kita tidak perlu berasa malu atau serba salah kalau rakan-rakan kita yang lain mampu membelikan kucing-kucing mereka makanan ataupun aksesori yang mahal-mahal sedangkan kita tidak mampu...Bersyukurlah kepada rezeki yang kita perolehi walaupun kita hanya mampu takat memberi kucing kita ikan rebus yang digaul dengan nasi sahaja...Kucing jalanan pun akan makan nasi ikan rebus...Malulah kalau kita mampu beli barangan yang mahal-mahal tetapi tidak mampu memperuntukkan sedikit wang untuk kucing-kucing kita...Kredit Bonus untuk mereka yang berjaya memperuntukkan sejumlah wang untuk kucing-kucing jalanan...Janganlah diperlekehkan rakan-rakan kita yang hanya mampu memberikan kucing mereka makan ikan kembung rebus kerana mereka adalah pengantara rezeki yang Allah SWT berikan kepada kucing tersebut...Memperlekehkan mereka adalah ibarat memperlekehkan rezeki dari Allah Taala...Berilah kepada mereka ilmu-ilmu yang kita ada ( konsultansi ) sekiranya diperlukan...Semoga amal jariah kita semua bakal menjadi saham di akhirat kelak nanti...Amin...!!!

'Just Listen To Yourself, Not What Other People Say...'

Ikan kembung pun ikan kembunglah asalkan kucing kita kenyang...Kalau ada rezeki lebih, belilah makanan premium...Makanan biskut kucing berjenama premium kalau digaul dengan ikan kembung pun stim baunya, yer dop...???

Comments

Entri Popular