Kau Yang Bernama Citam
Kisah ini berdasarkan kisah benar yang berlaku sekitar bulan Januari tahun 2003.
Waktu ketika itu pada waktu malam.
Kami sekeluarga terdengar bunyi sayup-sayup seperti bunyi tangisan binatang yang merintih dalam kesakitan di belakang rumah.
Oleh kerana waktu itu sudah larut malam & keadaan belakang rumah amat gelap gelita, saya & kakak hanya membiarkan sahaja kerana takut sesuatu yang bahaya akan menimpa kami nanti.
Keesokan paginya, ibu saya membuang sampah di belakang rumah.
Tiba-tiba ibu saya menjerit memanggil saya & dalam keadaan tergesa-gesa saya berlari ke arah ibu kerana takut ada sesuatu yang berlaku terhadap ibu saya.
Sampai sahaja di belakang rumah, ibu saya menunjukkan kepada saya di sebalik tempat pembuangan sampah tersebut, terdapat seekor anak anjing berwarna hitam sedang duduk menyimpuh sambil memandang muka kami berdua dengan pandangan yang sayu sekali.
Tanpa membuang masa, saya pergi ke dapur & mengambil nasi serta lauk untuk diberikan kepada anjing tersebut.
Ketika saya ingin menghulurkan kepada anjing itu, anjing itu menderam & kerana takut saya meletakkan nasi tersebut jauh daripada kedudukan anjing itu.
Selepas meletakkan nasi, saya memerhatikannya di sebalik pintu dapur.
Alangkah sedih rasa hati saya apabila melihat anjing hitam itu berdengkot-dengkot menuju ke arah nasi.
Lagi mengharukan apabila nasi tu habis dimakannya.
Kerana kesian, saya kembali semula ke dapur & mengambil lagi nasi untuk anjing tersebut.
Tapi untuk nasi kali ini saya campurkan dengan ubat penahan sakit & berharap kaki anjing tadi akan sembuh selepas makan ubat ni.
Seperti tadi, saya meletakkan nasi tersebut jauh daripada anjing hitam akan tetapi belum sempat saya meletakkan nasi tu, anjing hitam berdengkot-dengkot menuju ke arah saya & makan nasi tanpa mempedulikan saya di hadapannya.
Setelah yakin nasi tersebut telah habis dimakannya, ibu menyuruh saya menghalau anjing itu memandangkan anjing merupakan haiwan najis mughallazah.
Anjing itu pergi meninggalkan rumah kami dengan jalan yang berdengkot-dengkot.
Keesokan petang, saya mengajak kucing-kucing saya bermain-main di sekolah.
Ketika saya & kucing-kucing saya sedang melepak di kantin sekolah, tiba-tiba kucing-kucing saya bertempiaran lari balik ke rumah.
Dengan keadaan musykil, saya menjenguk apakah makhluk yang telah menakutkan kucing saya tadi.
Mula-mula saya ingat ada jaga sekolah membuat rondaan di situ tetapi sangkaan saya meleset.
Di belakang kantin tersebut, ada seekor anjing hitam yang pernah saya bagi makan dahulu.
Kali ini kakinya tidak lagi berdengkot.
Dia pun berlari-lari ke arah saya & oleh kerana saya takut, saya terus melarikan diri dengan sekuat tenaga saya.
(Saya risau kalau-kalau dia ingin menggigit atau menyerang saya)
Belum sempat saya sampai ke halaman rumah, dia telah menghadang larian saya.
Tanpa perasaan rela, saya terpaksa berhenti juga kerana takut dia akan mengganas nanti.
Bagi mengelakkan anjing tersebut jadi agresif, saya hanya berdiam diri & melihat sahaja apa yang ingin dilakukan oleh anjing tersebut.
Alangkah terkejutnya saya, apabila dia melihat saya berdiam diri, dia terus tunduk hormat sambil menggoyang-goyangkan ekor dia.
Setelah melihat perlakuan positif anjing tu, saya pun dengan selamba berjalan melintasi dia.
Apabila dia melihat saya pergi meninggalkan dia seekor di situ, dia pun berlari-lari manja di belakang saya sampailah di hadapan rumah.
Ketika saya naik ke rumah, dia duduk bersimpuh di hadapan rumah sambil menjilat-jilat bulu.
Oleh kerana kesian, saya masuk ke dapur & mengambil nasi untuk diberikan kepadanya.
Melihat saya keluar sambil membawa nasi, dia kelihatan sungguh gembira dengan berlari-lari di sekitar hadapan rumah saya.
Saya meletakkan nasi tersebut di hadapan dia & dia makan dengan begitu gelojoh sekali.
Mungkin kerana sudah seharian dia tidak makan.
Seperti biasa, saya menghalau anjing tu agar dia dapat pulang ke rumah tuan dia.
Tetapi kali ni dia berdegil.
Dia tetap duduk bersimpuh di hadapan rumah sambil merenung wajah saya dengan pandangan yang sayu sekali.
Sekali lagi sebab rasa kesian, saya berbincang dengan keluarga & keluarga membenarkan saya memberi anjing tersebut makan setiap pagi, tengah hari, petang & malam.
& pada saat itulah saya menggelar dirinya dengan nama CITAM.
Citam adalah seekor anjing betina yang berwarna hitam.
Pada mulanya Citam seekor anjing yang aggresif.
Bila nampak kucing saya, Citam akan kejar sampai kucing saya tak berani nak keluar rumah lagi kecuali kalau saya teman bermain-main kat luar.
Saya memang marah betul dengan Citam ni.
Suatu hari, saya sedang bermain-main dengan kucing kat depan rumah.
Bila Citam nampak kucing saya, dia terus kejar dengan gaya ala-ala manjanya.
Tapi saya da siap sedia dengan kayu.
Bila Citam dekat dengan kucing saya, saya terus acah-acahkan kayu dekat muka dia.
Citam terus berhenti mengejar & tunduk ketakutan.
Saya meletakkan kayu tersebut ke atas kepala Citam & mengurut-ngurut perlahan hingga ke badan dia.
Oleh kerana Citam kebosanan sebab tiada kawan, saya pun mengajak Citam bermain-main di padang sekolah hadapan rumah saya.
Seperti saya lihat di kaca TV, orang luar negara suka membaling kayu & menyuruh anjing mereka tangkap.
Saya ingat saya pun nak mempraktikkan kaedah ini.
Saya pun memanggil Citam, "Citam, tangkap kayu ni" sambil membaling kayu.
Citam mengejar kayu tersebut & dapat menangkapnya tetapi saya ingatkan dia akan bawak balik kat saya.
Rupa-rupanya dia bawak lari kayu tu ke tempat yang jauh daripada lokasi saya sambil menguyah kayu tu sampai hancur lunyai.
Citam, Citam.
Itulah yang berlaku pada setiap petang & syukur, Citam tidak lagi mengejar kucing saya tetapi dia telah dinaik pangkat menjadi pengawal peribadi kucing saya pulak.
Bijak Citam ni. Sayang kat dia.
Pernah suatu hari, sekumpulan anjing jantan liar masuk ke dalam kawasan sekolah & bertindak untuk menyerang kucing saya.
Mujur ada Citam sebagai penyelamat.
Citam bergaduh dengan anjing-anjing jantan liar tersebut.
Habis luka berdarah Citam mempertahankan kucing saya.
Kerana saya begitu marah, saya datang menolong Citam sambil membawa batu besar & kayu untuk membelasah anjing-anjing jantan liar tersebut.
Alhamdulillah, kesemua anjing lari bertempiaran & keluar dari kawasan sekolah.
Saya sedih melihat badan Citam yang luka & berdarah.
Saya tuangkan minyak gamat di badannya & memberi makan nasi yang banyak sebagai ganjaran melindungi kucing-kucing saya.
Citam begitu gembira sekali.
Sejak hari itu, anjing liar tidak berani untuk masuk ke kawasan sekolah lagi kerana Citam telah berkuasa di sini.
Pada 1 hari, sedang saya asyik melilau dengan kucing & Citam dekat rumah kosong yang bersebelahan dengan rumah saya, Citam dengan tiba-tiba menderam di hadapan rumah itu.
Bila saya meninjau dengan lebih dekat, terdapat seekor anjing jantan yang sangat gagah & comel sedang terbaring lemah.
Citam dengan ala-ala gangsternya terus menyalak anjing jantan tersebut.
Saya seperti biasa terus pulang ke rumah & menuju ke dapur.
Tapi malangnya waktu tu nasi telah habis stok & mak saya baru sahaja memasak nasi yang baru.
Sebabkan tiada apa yang boleh dimakan, saya ambik biskut HupSeng & terus bawa ke rumah kosong tersebut.
Anjing ni pun macam Citam. Garang.
Saya bagi biskut, dia boleh menderam dekat saya.
Lepas saya meletakkan biskut di depan dia, saya terus mengajak kucing & Citam balik semula ke rumah.
Tapi sebenarnya saya menyorok kat tepi rumah kosong tu, nak tengok dia makan ke tak.
Fuhhh, dia makan gak biskut tu.
Comel je mulut dia gigit-gigit biskut tu sebab biskut kan rangup.
Citam nampak je terus Citam mengganas.
Dia dengki sebab dia tak dapat makan biskut, dia asyik menyalak je kat anjing tu.
Untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya ajak kucing & Citam balik rumah.
(Yang ni balik betul-betul)
Sebabkan tak nak Citam kecil hati, saya bagi jugak biskut tu kat dia.
Bukak main lagi mulut dia kunyah biskut.
Macam sedap je biskut tu bagi dia. Comel sangat.
Keesokan petangnya saya melawat anjing jantan tu lagi tapi kali ni berseorangan sebab tak nak Citam mengacau nanti.
Saya hulurkan nasi kat anjing jantan tu & secara perlahan-lahan anjing tu bangun menuju ke arah nasi.
Alangkah terkejutnya saya, separuh daripada badan anjing jantan tersebut melecur teruk macam kena simbah dengan air panas.
Kesian dia, patut la asyik tidur je kat rumah kosong ni. Sakit rupanya.
Sejak hari tu saya akan letak ubat dalam nasi dia.
& Citam pun dah tak mengganas macam dulu. Dia boleh terima kehadiran anjing jantan tu.
(Mungkin Citam telah jatuh cinta)
Setelah berminggu-minggu memberi anjing jantan tersebut makan ubat.
Akhirnya alhamdulillah, kesan melecur semakin berkurangan & anjing jantan tersebut kembali aktif seperti biasa.
Baguslah.
Sejak daripada hari tu, Citam & anjing jantan tersebut selalu bermain-main bersama.
Kehadiran anjing jantan itu memberi seribu keceriaan dalam hidup Citam.
Malah, saya tidak lagi bermain dengan Citam kerana Citam sedang berbahagia bersama anjing jantan tersebut.
& saya pun memberi nama Syelaki kepada anjing jantan itu.
Setelah beberapa minggu Syelaki bermastautin di sini, dia pun pulang ke tempat asal dia.
Untuk mendapatkan kepastian siapakah tuan Syelaki yang sebenar, saya pun pergi mencari dia di kawasan kejiranan & ternyata dia milik keluarga Cina yang tinggal bersebelahan dengan sekolah.
Setelah Syelaki kembali ke tempat asalnya, Citam sering kali hilang daripada rumah.
Kadang-kadang sahaja Citam pulang ke rumah, itu pun kerana nak makan nasi.
Setelah beberapa bulan, berlaku perubahan mendadak terhadap diri Citam.
Citam mula kelihatan gemuk & sedikit buncit.
Apabila saya memeriksa perut Citam, ternyata Citam telah bunting.
Walaupun gembira dengan berita ini, tetapi terbit kerisauan dalam hati saya kerana Citam seekor anjing.
Bagaimana jika pihak sekolah tidak dapat menerima kehadiran bayi Citam?
Tetapi demi Citam, saya tidak melakukan apa-apa terhadap dirinya.
Ini adalah kali pertama Citam bergelar ibu.
Saya tidak akan mengecewakan harapan Citam untuk mempunyai anak sendiri.
Apabila Citam disahkan bunting, Syelaki sering kali menemani Citam di sini.
Syelaki tidak lagi kembali ke rumah tuannya & sanggup menemani Citam di sini siang & malam.
Setelah minggu berganti minggu, bulan berganti bulan.
Akhirnya Citam selamat melahirkan 6 ekor bayi yang sangat comel.
Kesemua anak Citam mempunyai bulu yang lebat & gebu.
Kemungkinan bayi-bayi ini mempunyai gen Syelaki yang kuat memandangkan Syelaki anjing jantan cantik manakala Citam hanyalah anjing betina biasa.
Antara nama-nama anak Citam & Syelaki ialah Syantai (corak bulu seolah-olah pakai rantai), Soo Yi (paling kecik), Syeta (corak badan yang berpeta), Syusut (mempunyai bulu yang lebat & kusut), Sui (sempena nama anjing mendiang Steve Irwin, pengacara Crocodile Hunter) & Syilo (bulu yang berwarna coklat seakan-akan milo).
Anak-anak Citam membesar dengan sihat.
Mereka kelihatan gemuk & manja sekali..
Akan tetapi langit tidak selalunya cerah, kerana hujan bakal membasahi bumi di tengah hari.
Pihak sekolah tidak senang dengan kehadiran anak-anak Citam.
Walaupun saya meletakkan anak-anak Citam di bawah rumah, ternyata mereka tidak gemar apabila pelajar sering kali datang ke rumah saya untuk melihat anak anjing yang comel ini.
Akhirnya, pihak sekolah mengupah seorang Cina untuk menangkap anak-anak Citam.
Tetapi bukan mudah kerana anak-anak Citam agak liar dengan orang asing walaupun dengan manusia yang boleh memegang mereka.
Bagi mengelakkan anak-anak Citam disakiti, saya terpaksa memujuk mereka semua untuk mendekati Cina tersebut.
& akhirnya kesemua anak Citam berjaya ditangkap & dibawa pergi dari kami.
Apabila terpandang muka Citam, wujud seribu sesalan dalam jiwa kerana tidak dapat mempertahan anak-anak kandung dia.
Timbul air-air jernih dari mata Citam yang sentiasa memandang motor Cina itu dari awal hingga hilang dari pandangan.
Pada mulanya Citam ingin mengganas tetapi setelah saya pujuk Citam & memberi makan biskut, Citam kembali normal.
Tetapi hanya Tuhan yang tahu apa perasaan Citam..
Dari mimik wajah Citam, ternyata Citam dirundung kepiluan & kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan anak-anaknya yang baru menjengah usia sebulan lebih.
Citam di uji sekali lagi.
Setelah kehilangan anak-anaknya, Citam kehilangan suaminya pula.
Kejadian ini berlaku ketika sambutan hari raya 2003.
Pada petang itu Citam gembira bermain dengan Syelaki di hadapan rumah.
Tetapi pabila menjelang waktu malam, hanya Citam yang ada untuk menjamah nasi.
Kelibat Syelaki langsung tidak berkunjung tiba sedangkan selalunya sebelum ini Syelaki akan datang bersama-sama Citam untuk makan malam bersama-sama.
Pada firasat saya, mungkin Syalaki telah kembali ke rumah tuan asalnya memandang sudah berbulan-bulan Syelaki menghabiskan masa di sini bersama Citam.
Keesokannya harinya, saya mendapat khabar berita dari bekas jiran bahawa ada anjing mati di kawasan koridor sekolah.
Hati berdegup kencang & risau jika Citamlah anjing yang dimaksudkan.
Tanpa membuang masa, saya bergegas ke kawasan tersebut & alangkah terkejutnya apabila mendapati Syelaki lah anjing yang dimaksudkan.
Sungguh pilu melihat keadaan Syelaki.
Darah keluar dengan banyak dari hidung & mulutnya.
Tidak jauh dari tubuhnya, kelihatan beberapa tompok muntah yang mengandungi tulang ayam.
Saya yakin itu adalah muntah milik Syelaki.
Tidak syak lagi Syelaki telah di racun.
Saya kecewa, apakah dosa Syelaki sampai begitu azab sekali mereka perlakukan terhadap diri dia?
Syelaki bukan anjing biasa, Syelaki mempunyai tuan & merupakan anjing yang dibeli.
Saya tidak mampu berbuat apa-apa, semuanya sudah terlambat.
Syelaki telah pun pergi untuk selama-lamanya.
Sungguh besar dugaan Citam.
Kehilangan 2 benda paling disayanginya dengan sekelip mata.
Setelah 2 perkara ini berlaku, saya risau Citam mungkin menjadi mangsa yang seterusnya.
Akhirnya Citam menghilangkan diri.
Mungkin Citam tidak sanggup lagi menghadapi peristiwa sedih ini yang menyebabkan Citam pergi meninggalkan kami.
Saya redha dengan pemergian Citam.
Walaupun sedih tetapi inilah yang terbaik untuk dirinya.
Semoga Citam berbahagia & selamat hendaknya.
Beberapa bulan berlalu, saya sangat merindui kelibat Citam.
Suatu hari saya termenung di hadapan tangga bersama-sama kucing-kucing saya.
Tiba-tiba, kucing-kucing saya bertempiaran lari naik ke atas rumah.
Apabila saya meninjau apakah benda yang menakutkan kucing saya, alangkah terkejutnya saya melihat Citam duduk sambil menggoyang-goyangkan ekornya.
Citam sudah kembali.
Walaupun gembira dengan kepulangan Citam tetapi perasaan risau tetap wujud apabila mengenangkan peristiwa hitam yang berlaku pada Syelaki.
Tanpa membuang masa, saya terus memberi Citam makan.
Ternyata Citam amat lapar sekali kerana makan dengan begitu gelojoh.
Kesian Citam.
Keesokan harinya, baru saya perasan ada sesuatu yang berlainan dengan diri Citam.
Sungguh tidak disangka, Citam mengandung untuk kali kedua.
Saya tidak tau apa yang perlu saya lakukan.
Saya berserah sahaja kepada Ilahi.
Citam telah ditakdirkan untuk mengandung lagi, mungkin kali ini rezeki Citam. Berserah sahajalah.
Bulan berganti bulan, akhirnya Citam selamat melahirkan 10 ekor anak-anak anjing.
Kali ini anak-anak Citam tidak segebu & secantik kelahiran pertama.
Mungkin bapa anak-anak anjing ini baka biasa seperti Citam.
Walaupun terselit kerisauan dalam diri ini, tetapi apabila melihat Citam gembira bersama dengan anak-anaknya, segala kerisauan hilang begitu sahaja.
Masa pun berlalu dengan pantas, anak Citam membesar dengan begitu gemuk sekali.
Bayangkan 10 ekor berlari-lari di hadapan rumah, bagaikan hidup di dalam taman haiwan.
Buat masa ini tiada sebarang tindakan daripada pihak sekolah tetapi saya sentiasa berjaga-jaga agar peristiwa dulu tidak berulang kembali.
Saya akan pastikan anak-anak Citam hanya bermain di belakang rumah sahaja & mengelak disedari pihak sekolah.
Akan tetapi semua itu tidak memadai untuk menyelamatkan anak Citam.
Jika dahulu mereka mengupah Cina untuk membawa anak Citam pergi.
Kali ini lebih kejam & zalim untuk haiwan yang masih berumur 2 bulan.
Saya masih ingat lagi, kejadian ini berlaku pada waktu pagi.
Sedang saya ralit baring di atas katil, tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan di bawah rumah saya.
Keadaan itu begitu menakutkan sekali.
Masakan tidak, ketika itu waktu sekolah & ada budak-budak di sekolah itu.
Saya tertanya-tanya, siapakah gerangan yang menembak sesuka hati ke arah rumah saya?
Selepas bunyi tembakan itu, saya terdengar bunyi rintihan anjing menangis sayup di tepi rumah saya.
Saya menjenguk & sungguh memeranjatkan apabila melihat beberapa orang Melayu & India memegang senapang & menjinjit tubuh kecil anak Citam yang sudah tidak bernyawa & mengalir darah di kepalanya.
Ibu saya memarahi mereka semua tetapi mereka mengendahkan sahaja.
Di dalam rumah saya hanya ada saya, ibu & anak buah saya yang masih bayi.
Mereka menembak menggunakan peluru tabur & jika tersalah tembak, memang kami yang berada di atas rumah akan menjadi mangsa.
Walaupun ibu saya mengamuk dengan tindakan mereka, mereka tetap meneruskan aktiviti terkutuk mereka.
Bunyi tembakan dilepaskan lagi, nyaring suara anak Citam apabila tembakan itu tepat mengenai tubuhnya.
Saya tidak dapat menahan kesedihan.
Mengapa mereka begitu kejam sekali?
Mereka boleh tangkap anak-anak anjing ini tanpa perlu mencederakannya seperti mana anak-anak sulung Citam dahulu.
Kenapa perlu menggunakan keganasan?
Kalau diikutkan hati, saya ingin berlari menyelamatkan anak Citam tetapi ditegah oleh ibu saya.
Saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa, hanya mampu berdoa kesejahteraan Citam & anaknya yang lain.
Setelah 3 das tembakan dilepaskan, mereka semua pulang dengan membawa 3 jasad yang pernah saya bagi makan dahulu.
Sungguh pilu & sebak melihat keadaan anak-anak Citam yang berlumuran darah.
Apa dosa mereka? Mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.
Mengapa dihukum sampai begini?
Setelah semuanya reda, saya pergi mencari Citam.
Ternyata Citam & anak-anaknya yang lain melarikan diri di kebun belakang rumah.
Baguslah mereka pandai menyelamatkan diri.
Saya berharap mereka akan pergi untuk selama-lamanya.
Pabila malam menjelang, saya & keluarga baru pulang dari membeli barangan di kedai.
Selepas saya sampai di pagar sekolah, saya terpandang jip yang pernah saya lihat sebelum ini.
Alangkah terkejutnya saya, itulah jip yang membawa penembak anak Citam pagi tadi.
Mereka masih tidak serik & seperti dirasuk dengan syaitan.
Selagi anak-anak Citam tidak mati, selagi itu mereka dahagakan darah & melakukan pembunuhan.
Sedangkan mereka berbual dengan jaga sekolah, saya bergegas pulang dengan menaiki kereta.
& sekali lagi saya terperanjat.
Citam & anak-anaknya menyambut kepulangan saya dengan mengiringi kereta..
Saya dengan pantas menghalau Citam, ternyata Citam tidak mengerti dengan tindakan saya..
Saya sudah terlambat, pasti ada nyawa yang bakal kehilangan pada malam ini.
Jip itu semakin hampir.
Ibu mengarah saya masuk ke dalam rumah kerana saya bertekad ingin berdiri depan rumah menunjukkan saya memprotes tindakan mereka..
"Mereka tiada perasaan", ujar ibu saya.
Ibu saya khuatir saya turut menjadi mangsa kekejaman mereka.
Saya tidak mampu membantah kata-kata ibu saya.
Saya hanya dapat menengking mereka dari dalam rumah tetapi mungkin mereka tidak dengar atau sengaja memekakkan diri mereka asalkan anak-anak Citam dapat dihapuskan.
Sekali lagi tembakan dilepaskan. Sungguh kuat bunyinya.
Saya berdoa kepekatan malam ini akan menyukarkan mereka untuk membunuh anak-anak Citam.
Tetapi sangkaan saya meleset, nyaring bunyi anak Citam menahan sakit.
Tembakan dilepas lagi, kali ini juga tepat mengenai anak Citam apabila sayup kedengaran rintihan anak anjing dalam kesakitan.
Ketika itu Citam menyalak dengan begitu kuat sekali.
Citam tekad untuk menyerang penembak tersebut.
Kerana takut dicederakan Citam, mereka pulang setelah berjaya menembak 2 ekor anak dia.
Tetapi Citam tidak berputus asa, Citam mengejar jip itu dari rumah saya hingga ke pagar sekolah yang jarak dalam 200 meter.
Ketika menunggu pagar dibuka, penembak itu mengacu tepat di kepala Citam yang galak menyalak ke arah jip tersebut.
Sungguh ajaib, senapang tidak meletup langsung.
Penembak itu memeriksa peluru & ternyata peluru masih penuh lagi.
Sekali lagi penembak itu cuba mengacukan senapang ke arah Citam.
Akan tetapi, senapang itu tidak meletup walaupun peluru masih ada.
Citam semakin aggresif. Citam bersiap sedia ingin menerkam jip itu tetapi sejurus pintu pagar dibuka, jip itu terus meluncur laju meninggalkan Citam yang masih dalam keadaan marah.
Keesokan harinya, jaga sekolah menceritakan peristiwa ini kepada bapa saya.
Lagi mengejutkan apabila setelah mereka pulang ke tempat mereka, si penembak cuba untuk menembak menggunakan senapang tadi & ajaibnya tembakan berjaya dilakukan tanpa sebarang masalah.
Selepas berlaku kejadian itu, aktiviti tembakan dibatalkan secara tiba-tiba.
Saya bersyukur kerana Citam & 5 ekor anaknya lagi selamat daripada kekejaman mereka.
Hari-hari yang berikutnya berlalu seperti biasa.
Kejadian tembak-menembak telah lama dilupakan.
Citam kembali hidup gembira dengan 5 ekor anak yang tercinta.
Tetapi pihak sekolah tidak senang dengan perkara ini.
6 ekor anjing di kawasan sekolah bagaikan 60 ekor anjing.
Setelah kaedah tembakan tidak berhasil, mereka menggunakan kaedah yang lain & juga keji.
Saya perasan sesuatu yang pelik terhadap anak-anak Citam.
Mereka mulai lemah & tidak berupaya untuk bermain seperti selalu.
Saya fikir mungkin mereka keletihan atau mengantuk & ingin tidur.
Tetapi apabila mereka mula muntah, saya terfikirkan sesuatu yang pelik.
Tidak lama selepas itu, 2 ekor anak Citam mati serentak & 2 ekor lagi hilang tanpa dapat dikesan.
Saya mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku.
Saya pergi mencari 2 ekor yang hilang di kawasan sekolah.
Apabila saya tiba di kawasan belakang kantin, saya terpandang sesuatu yang ganjil.
Saya amati di kawasan pembuangan sampah itu & di situ kelihatan bihun goreng yang telah berwarna ungu.
Saya hairan & segera bertanya kepada ibu saya.
Alangkah terkejutnya saya apabila bapa saya mengatakan yang ungu itu merupakan racun.
Sama ada racun rumput atau racun tikus, saya tidak dapat pastikan.
Setelah mengetahui niat jahat pihak sekolah, saya segera merawat seekor lagi anak Citam yang terbaring lesu.
Alhamdulillah, dia ingin memakan nasi yang telah dicampur dengan ubat.
Selang beberapa hari anak Citam kembali sembuh, kami namakan dia Dubuk sebab dia seakan-akan rupa dubuk.
Saya sangkakan dengan tinggalnya Citam & Dubuk, pihak sekolah akan berhenti dari membunuh mereka.
Tetapi sangkaan saya ternyata meleset.
Petang itu tiada apa yang pelik berlaku dalam hidup Citam & Dubuk.
Selalunya petang sebegini saya lebih suka berjalan-jalan daripada melayan Citam.
Akan tetapi ketika itu terdetik hati saya ingin bermain dengan Citam setelah sekian lama akibat peristiwa hitam yang berlaku sebelum ini.
Saya berkejar-kejaran dengan Citam..
Citam kelihatan gembira sekali.
Kami berlari di keliling rumah, lompat bersama-sama, saya baling kayu & Citam kutip sambil bawak lari dari saya, sungguh menyeronokkan petang itu.
Selepas kami penat bermain, saya mengurut badan Citam yang keletihan menggunakan kayu.
Citam memejamkan mata sebagai tanda amat terharu dengan layanan saya.
Tetapi saya tidak sangka sama sekali bahawa itulah kali terakhir saya bersama dengannya.
Malam itu, ketika waktu makan malam, Citam tidak pulang ke rumah.
Saya amat risau kerana sebelum ini Citam tidak pernah lepas menikmati makan malam dia.
Bapa saya pergi mencari dengan menaiki motor di kawasan hadapan sekolah.
Tidak lama selepas itu, bapa saya pulang & mengatakan Citam nazak di kawasan parkir kereta.
Mendengar berita itu membuatkan saya tidak begitu keruan.
Tanpa membuang masa, saya berlari ke tempat yang bapa saya maksudkan.
Alangkah sayu hati saya melihat sekujur tubuh terbaring lemah & nafas berombak laju.
Saya menghampiri Citam.
Saya usap Citam dengan kaki bagai menenangkan dirinya.
Air mata saya menitis di bumi. Saya memanggil nama Citam.
"Citam sayang, kuatkan diri ye. Lawan kesakitan tu. Citam nak nasi tak?", ujar saya sambil menyorong bungkusan nasi di muka Citam.
Citam berusaha untuk bangun, setelah menghidu nasi itu, Citam kembali rebah.
Begitu sedih sekali saya melihatnya.
"Citam sayang jangan macam ni. Makan ye," pujuk saya.
Citam hanya kelip-kelip mata & menggerakkan badannya kepada saya.
Saya faham maksud Citam. Saya mengurut Citam lagi sambil membacakan surah al-Fatihah, saya berdoa dalam hati agar Citam kembali sembuh.
Waktu itu sudah menjangkau pukul 12am.
Saya terpaksa pulang ke rumah kerana sudah lewat malam.
Saya pandang wajah sayu Citam yang tidak mahu saya pergi.
Saya meletakkan nasi bercampur ubat di muka Citam.
Saya berharap Citam akan makan bila saya pergi.
Ketika saya mula melelapkan mata, saya asyik terbayang muka Citam yang sayu.
Hujan lebat mengiringi kesedihan saya & saya tidak henti-henti berdoa semoga Citam selamat.
Saya tidak dapat tidur, saya risaukan keadaan Citam.
Tambahan pula hujan lebat, Citam pasti akan kesejukan.
Akhirnya pukul 3am, saya tidur dengan linangan air mata.
Keesokan harinya, tanggal 31 Ogos 2004.
Saya bergegas ke tempat Citam. Saya hampir meraung di situ.
Tubuh Citam telah membujur kaku & di sekelilingnya kelihatan muntah yang sangat banyak.
Baru saya tahu, Citam telah diracun.
Saya terpandang nasi yang saya beri semalam, bertaburan mungkin kerana disepak Citam ketika Citam sedang bergelut dengan maut.
Apabila saya mengingati semula, petang sebelum saya bermain dengan Citam.
Waktu itu saya keseorangan di rumah.
Sedang saya asyik melukis di beranda & tiba-tiba datang jaga sekolah itu yang bertanya tentang Citam sambil memegang bungkusan makanan.
Saya menjawab yang Citam ada sahaja di situ & teruskan melukis.
Jaga itu berlalu pergi.
Saya tidak mahu bersyak-wasangka dengan pihak sekolah.
Tetapi jika benar mereka yang meracuni Citam, saya doakan semoga Allah yang akan membalas perbuatan terkutuk ini.
Citam selamat dikebumikan di belakang sekolah.
Setiap petang saya akan melawat kubur Citam sebagai tanda sayang saya kepadanya.
Saya taburkan bunga tanda dia sentiasa mekar di hati saya.
Walaupun Citam meninggalkan Dubuk untuk saya jaga, tetapi Citam tiada galang gantinya.
Dialah satu-satunya yang teristimewa dalam keluarga saya.
Saya akan pegang amanat Citam untuk memelihara Dubuk dengan sebaik-baiknya.
Saya tidak dapat yakinkan Dubuk akan selamat hingga akhirnya tetapi yang pasti saya akan berjuang untuk kehidupan Dubuk.
Sekian ~
Info gambar:
1) Syelaki
2) Citam bersama anak-anak sulung
3) Anak-anak sulung Citam
Dari kiri - Syusut, Syilo, Sui, Syaitai & Soo Yi (yang gigit sampah)
4) Anak kelahiran sulung Citam - Syeta
5) Anak-anak kelahiran kedua Citam
Nota PH :
Kisah ini dikirimkan oleh Cik Sue Yahya di Fan Page Kakimotong Fan Club
Apa perasaan anda selepas membaca cerita ini??
kenapa mesti wujud org yg tak berhati perut bersifat syaitan mcn tu????YA ALLAH.....
ReplyDeletekenapa mesti wujud org yg tak berhati perut bersifat syaitan mcn tu????YA ALLAH.....
ReplyDeleteTkpe Citammm..Syurga menanti untuk kamu makhluk yang tidak pernah berdosa...
ReplyDeletesedihnya. xtau nak luahkan mcm mana. apa-apa pun Allah Maha Mengetahui.
ReplyDeletetak sangka anjing begitu mulia hatinye walau haram untuk di sentuh...die tahu mnghargai orag yg mnolong dia dan mudah jdi setia kepada kita...tapi tak sanggup tgok org yg zalim tidak bertempat nie..tahulah anjing tu haram tapi kita tak boleh buat sesuka hati kita...dia tu makhluk ALLAH jugak...kita tak berhak menzalimi mkluk ALLAH...
ReplyDeleteEntri Terkini Kazen >> Follow 100 Blog Part 3
Saya paling suka baca kisah citam..ksian kt dia..wlwpn dia haiwan tp dia tau balas jasa org yg buat baik pd dia..
ReplyDelete