"Pergi hospital ni, dah tak balik dik."

Hujan pagi Jumaat. Hari ini hari ketujuh arwah emak kembali ke rahmatullah. Alhamdulillah, saya reda menerima takdir bahawa emak sudah tiada. Allah sudah menunaikan janji-Nya betapa setiap yang hidup akan menemui mati. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah mengambil emak dalam cara yang emak inginkan dan dalam keadaan yang amat indah. Apabila mengenang semula, beberapa minggu ini emak seolah-olah sudah tahu masanya semakin tiba. Jam 10 malam, 13 Mei 2012 sebelum emak tidur, emak sangat riang dan gembira. Kata emak, kalau emak sihat pada hari esok, emak akan masak untuk kami. Emak pesan kepada saya dan abang (Khairul Amri), emak ampunkan dosa-dosa anak emak. Kata emak, anak-anak emak tidak derhaka. Emak tak pernah minta umur panjang, cukuplah dengan umur yang Allah beri.


Jam tiga pagi 14 Mei emak terjaga sambil mengucap, satu jam kemudian kami bawa emak ke Hospital Selayang, itu pun pada mulanya emak tidak mahu. Dalam perjalanan, sambil menyebut nama Allah, emak berkata "Pergi hospital ni, dah tak balik dik." Sebelum keluar dari pintu rumah dan dalam keadaan sakit, emak berkata "Jaga kucing, jaga boboy, jaga Teja, Jie Jie. Jangan lupa bagi makan kucing."




Alhamdulillah, Allah beri saya masa enam hari untuk terus mengucup tapak tangan dan kaki emak sebelum Allah ambil jasad dan roh emak buat selama-lamanya pada 12:50 petang 27 Jamadil Akhir/19/05.12. Pemergian emak ialah pemergian dan kematian insan paling saya cinta buat kali pertama.

Sebelum ini hati saya sentiasa terikat dan berat untuk meninggalkan rumah kerana adanya emak di sana. Sebelum ini, saban jam saya akan terima sms dan panggilan daripada emak setiap kali saya berada di luar rumah. Sebelum ini, emak akan melambai kepada saya menerusi jendela kamarnya setiap kali saya memulakan perjalanan keluar rumah. Sekarang, tiada sesiapa yang menunggu kepulangan saya dan tiada emak yang mengikat hati saya untuk selalu berada di rumah lagi. Kata emak memang betul, emak tidak langsung dibawa pulang ke rumah. Selesai urusan di hospital terus dibawa ke Masjid Kg Nakhoda untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Alhamdulillah, emak pernah berkata ada hikmah Allah beri emak satu sahaja anak perempuan. Alhamdulillah, saya satu-satunya waris yang dibenarkan memandikan emak. Semuanya berjalan lancar, cepat dan mudah. Alhamdulillah.

Selama ini saya selalu yakin, saya berkata selalu kepada emak, "Orang nak belajar baik-baik. Nanti orang kerja, orang kumpul duit. Orang beli kereta dan rumah untuk mak tau." Itu keyakinan saya. Saya selalu yakin yang saya sempat tunaikan apa-apa yang saya cakap itu biarpun emak selalu kata emak entah sempat atau tidak. Allah memperlihatkan kepada saya, keyakinan manusia tidak dapat melawan ketentuan Allah.

Pesan Puan Rozninah Abd Azib sebelum meninggalkan perkuburan lewat petang itu terngiang-ngiang di hati saya, "Tanggungjawab Tiha sekarang lebih berat. Emak di sana selalu ternanti-nanti doa anak. Fatiha kena lebih dekat dengan Allah."

Kepada semua rakan yang menghubungi dan menghantar sms, terima kasih amat dalam dari lubuk hati saya meskipun ada yang tidak sempat berjawab. Doa kalian untuk arwah emak, semoga Allah balas dengan kebaikan dunia dan akhirat. Alhamdulillah


Nota PH :
Tulisan di atas adalah hasil nukilan rasa dari salah seorang rakan Facebook PH iaitu Cik Wardah Munirah...Walaupun pendek, tapi terasa seperti membaca sebuah novel...

PH terharu apabila terbaca ayat dan pesanan dari arwah ibu beliau sebelum meninggal dunia iaitu... 
"Jangan lupa bagi makan kucing "...

Allahuakbar...

Al-Fatihah untuk allahyarham ibu Cik Wardah ( Rambelah bt Maryam )


Comments

Entri Popular