Kisah Pilu Adik Mirza, Mangsa Tsunami Di Banda Acheh
Gempa bumi Aceh imbau tragedi tsunami 2004 ( imbasan kembali )
KUALA LUMPUR: Gempa bumi 8.7 skala Richter yang melanda di pantai Aceh petang semalam, membawa kepada kenangan pahit tragedi gempa bumi melanda wilayah sama pada Disember 2004 yang mengorbankan 230,000 nyawa, manakala 500,000 kehilangan tempat tinggal.
Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter pada 26 Disember 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.
Dalam kejadian itu, beberapa bandar utama di wilayah Sumatera Utara turut musnah selepas ombak tsunami setinggi sembilan meter ‘menyapu’ hampir bersih Banda Aceh, Calang dan Meulaboh kesan daripada gempa yang melanda Lautan Hindi.
Indonesia adalah satu-satunya negara yang paling teruk menerima kesan bencana itu, selain Sri Lanka, Thailand, India dan Malaysia.
Gempa bumi itu disifatkan kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun yang turut membunuh ratusan ribu manusia pada Perang Dunia Kedua.
Berbeza dengan tempat lain, Aceh ketika ini bukan saja menerima kesan akibat tsunami tetapi gempa bumi yang dahsyat sebelumnya ekoran pusat gempa yang berada tidak jauh dari wilayah berkenaan.
Sebelum bencana itu, Banda Aceh mempunyai kira-kira setengah juta penduduk dan kini jumlah penduduknya dianggarkan 300,000 orang saja.
Selain Aceh, kawasan berdekatan iaitu Pulau Nias dan Pulau Simeulue turut dilanda gempa bumi berukuran 8.7 skala Richter pada 26 Mac 2005 yang mengorbankan hampir 1,000 nyawa, genap tiga bulan selepas tragedi yang menimpa Aceh.
Aceh kini sedang dalam proses pembangunan semula selepas mengalami banyak kemusnahan prasarana hasil bantuan masyarakat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sumber: Berita Harian
*****************************************************
Beberapa hari yang lepas, lebih kurang jam dua pagi PH keluar ke Restoran Jamek Maju Semenyih untuk membeli keperluan untuk sahur...Sementara menunggu makanan yang dipesan siap, PH melabuhkan punggung ke sebuah kerusi....Di hadapan PH kelihatan seorang pemuda yang manis mukanya sedang leka menonton televisyen siaran Astro...PH memang ringan mulut untuk memulakan perbualan sekiranya terjumpa seseorang yang duduk secara bersendirian....Bermula dengan lemparan senyuman, PH terus bertanya "Tunggu orang ke dik...???"
Pertanyaan PH dijawab semula dengan senyuman..."Tidak bang...Saya baru lepas makan sahur tadi..."
"Nama saya Hairey...Kau nampak macam bukan orang sini...Kampung di mana...???"
"Nama saya Mirza..Kampung saya di Banda Acheh..."
"Owh...??? Banda Acheh yang kena tsunami dulu ke...??"
"Iya...Saya orang Indonesia, sudah hampir setahun merantau di sini..."
"Saya rasa amat bertuah dapat berjumpa dengan kamu...Terus ( justeru ), boleh tak saya menulis sedikit cerita mengenai kamu...?? Saya adalah seorang penulis...Tujuannya adalah untuk berkongsi sama masyarakat di sini agar menghargai keamanan yang ada di Malaysia..." PH bercakap dengan loghat seperti orang Indonesia juga...Maklumlah, dah 12 tahun PH bekerja di dalam bidang binaan bangunan dan seni arkitek...Dah biasa sangat bercakap dengan orang Indonesia...
"Boleh saja....Saya pun tidak pernah menceritakan kepada sesiapa pun...Terus ( justeru ), abanglah orang Malaysia yang pertama saya ingin bercerita..." ujar adik Mirza sambil tersenyum...Loghat Achehnya tersangatlah pekat....PH pun pergi ke kereta untuk mengambil pen dan buku nota yang memang PH simpan di dalam kereta untuk tujuan menulis blog dan beberapa tugasan harian...
Adik Mirza, berusia 21 tahun adalah merupakan anak ketiga dari lima beradik...Dua abangnya sememangnya telah lama bekerja di Malaysia...Beliau adalah salah seorang mangsa kejadian tsunami yang dahsyat pernah berlaku di dunia...Banda Acheh, tanah tempat tumpah darahnya adalah tempat yang paling teruk musnah di dalam kejadian yang tragis itu....Menurut beliau, 70% penduduk daerah itu telah mati...
Untuk dijadikan cerita, pagi sebelum kejadian ( lebih kurang jam lapan pagi waktu tempatan ) adik Mirza terjaga dari tidur setelah terdengar riuh rendah di sekitar kawasan rumahnya...Ketika itu usianya baru mencecah 13 tahun...Sangkaannya, bunyi riuh rendah tersebut adalah kejadian biasa seperti pergaduhan jiran atau sebagainya...Sedang leka termenung di dalam bilik, lima belas minit kemudian Mirza terdengar bunyi yang amat ganjil dan amat menakutkan sehingga tubuh kurusnya menggigil sehingga sukar untuknya berjalan...Apabila dia keluar menjengah ke tingkap, dari jauh dia ternampak ombak laut yang tersangatlah tinggi sehingga kelihatan seperti mencecah langit...Apa yang dilihatnya, si ibu berlari sehingga sanggup meninggalkan anak kecil, kereta dan motorsikal 'berebut-rebut' mahu masuk ke dalam rumah penduduk dan wajah-wajah penduduk yang pucat lesi...Lantaran itu, Mirza bertekad untuk lari sehelai sepinggang meninggalkan rumahnya yang bakal hanyut itu...Dia sempat membonceng motorsikal seorang rakannya lalu menuju ke Gunung Gurute....Ketika berada di atas motorsikal, barulah dia teringat bahawa ibu, ayah dan adik perempuan bongsunya yang bru berusia enam tahun masih berada di rumah...Ketika itu, yang ada di fikirannya hanyalah melarikan diri....
Setibanya di Gunung Gurute, dari puncak dia melihat kawasan kampungnya punah dilanda ombak yang sangat besar dan mengerikan...Bunyi-bunyian besi, kayu-kayan dan kenderaan yang telah hanyut dibawa arus telah menenggelamkan suara-suara cemas penduduk kampung...Dari atas gunung itulah Mirza berdoa agar keluarganya terselamat...Barulah dia perasan kucing-kucingnya yang sebanyak 7 ekor telah lama hilang lebih awal sebelum kejadian tsunami...
Mirza menceritakan kisah tragis itu dengan penuh emosi sehingga terpaksa berhenti buat seketika...Dia masih sebak ke atas apa yang berlaku...Menurutnya, kejadian itu seperti berlaku semalam apabila diingat kembali...PH pun sempat memesan air untuknya...Lalu cerita diteruskan kembali...PH semakin khusyuk mendengar kisahnya...
2 jam selepas kejadian tersebut, air telah mula surut...Kampungnya telah menjadi seperti baru lepas kiamat....Tiada sebuah rumah pun yang dapat berdiri teguh kecuali sebuah masjid...Apabila PH bertanya kepada Mirza, bukankah logik masjid itu tidak roboh kerana dindingnya diperbuat daripada batu...Jawabnya, banyak rumah batu didirikan di kampungnya tetapi kesemuanya roboh...PH terdiam mendengar penjelasannya...
Adik Mirza bergegas berlari menuju ke rumahnya...Masalahnya, dia agak keliru untuk mencari yang mana satu rumahnya memandangkan semuanya telah musnah sama sekali...Akhirnya, setelah puas mencari, dia menjumpai semula rumahnya yang telah ditinggalkan tetapi dia tidak menemui keluarganya....Dia terasa bingung yang teramat sangat...Kedua-dua abangnya tidak berada di Acheh....Dia tidak boleh mengeluarkan air matanya kerana seram dengan kejaidan yang baru sahaja menimpa kampungnya itu...Lantaran itu, Mirza menggagahkan juga untuk mencari ayah, ibu dan adik perempuan bongsunya...
Akhirnya, pencariannya berhasil...Mirza menemui mayat ayah dan adik perempuannya sedang berpelukan...Mayat mereka ditemui 10 kilometer dari tapak rumahnya...Arwah ayahnya berseluar tetapi tidak berpakaian manakala adik perempuannya lengkap berpakaian....Mirza menangis semahu-mahunya sambil memeluk mayat ayah dan adik perempuannya...Apabila PH menanyakan bagaimana perasaannya ketika itu, dia berkata perasaannya amat sedih tidak terkata, takut, seram dan ngeri....Mirza terpaksa ditenangkan oleh orang-orang sekeliling yang turut mencari keluarga masing-masing yang tidak sempat diselamatkan...
Sambil menggenggam semangat yang sisanya hampir habis, dia meneruskan hasrat untuk mencari mayat ibunya pula...Dia mencari mayat ibunya dengan hanya berjalan kaki seorang diri tanpa dibantu oleh sesiapa...Ujarnya lagi, dia tidak akan pergi dari tempat itu selagi tidak menemui mayat ibunya....Ketika Mirza bercerita tentang bab ini, air mata PH hampir menitis ketika menulis kenyataannya...Budak ini memang tabah...
Selepas dua jam mencari, akhirnya pencariannya berhasil...Mayat ibunya ditemui sendiri oleh Mirza lebih kurang 1 kilometer dari tempat di mana mayat ayahnya ditemui tadi...Kali ini, Mirza sudah tidak menangis lagi kerana air matanya telah kering....Dia hanya mampu mencium mayat ibunya berkali-kali sehingga terpaksa ditenangkan oleh orang-orang di sekeliling...
Pada keesokan harinya, Mirza menumpang teduh di rumah kawannya di Lhoksemawe selama 2 bulan...Namun demikian, dia kembali ke kampung halamannya setelah pihak kerajaan Indonesia menyediakan rumah bantuan rakyat....Ketika itu, kedua-dua abangnya telah pun pulang ke kampung halaman....Sejak dari titik tolak itu, Mirza tidak pernah bersekolah...Mangsa-mangsa tragedi tsunami telah menerima bantuan makanan dari kerajaan tempatan dan bantuan dari negara-negara luar....Menurutnya, bantuan dari negara luar yang paling awal tiba ialah Malaysia....
Di usia semuda ini ( 13 tahun ), Mirza telah menjadi yatim piatu...Dia melakukan pelbagai kerja di Acheh...Di antaranya ialah mengambil upah mencuci dan bekerja kontrak di tapak binaan...Tiba-tiba, timbul pula keinginan untuknya belajar menjahit...Mirza belajar menjahit selama setahun sebelum memulakan perniagaan di sana....PH ada bertanyakan kepada Mirza, pernah tak meminta sedekah...? Mirza berkata, dia masih ingat akan pesanan kedua orang tuanya...Bagi PH, kata-kata ini boleh dijadikan azimat untuk kita juga...
"Sungguhpun saya miskin, tetapi mak dgn ayah selalu bilang kalau kita masih kuat dan sihat, HARAM kalau kita meminta sedekah...Selagi saya sihat, saya akan bekerja keras...Saya mahu cari wang yang halal di sini dan ingin pulang semula ke kampung untuk bina kehidupan baru..."
Kini, sudah 8 tahun tragedi itu berlaku...Usianya telah mencecah 21 tahun...Sudah hampir setahun Mirza berada di Malaysia mengikut jejak langkah abang-abangnya....Perihal dokumen perjalanan juga sudah diselesaikan oleh abangnya...Mirza sudah berdikari...Dia telah membuka kedai menjahit di tepi lorong deretan rumah kedai di Semenyih...
Apabila ditanya pendapatannya dalam sehari, dia berkata "Alhamdulillah, pendapatan saya pernah mencecah RM40 sehari..."..Berdasarkan kenyataannya itu, PH dapat rasakan bahawa baginya, jumlah itu teramatlah banyak....Terus PH membandingkan dengan pendapatan PH, memang terlalu jauh bezanya....
Mirza tinggal seorang diri di sini....Tapak ini disewa sebanyak RM300 sebulan...PH tidak tahulah bagaimana tabahnya Mirza untuk membayar sewa tapak ini setiap bulan, itu belum lagi masuk bayaran sewa biliknya...
Mirza tidak sedar masa PH mengambil gambar-gambar ini....Alang-alang berkunjung ke kedai jahitnya, PH menghantar dua helai seluar untuk dipotong kerana terlalu labuh...MH pula menghantar baju rayanya untuk dipendekkan di bahagian kaki...
Di sebalik redup mata adik Mirza, rupa-rupanya tersembunyi seribu kedukaan yang terpendam...Adik Mirza juga sangat sayangkan kucing...Menurutnya, penduduk kampung yang majoritinya adalah beragama Islam ramai juga yang memelihara anjing untuk menjaga kebun dan kawasan rumah...Mereka juga menghormati mahkluk ini kerana ianya adalah ciptaan Allah SWT....Pengalaman PH selama sejam setengah mewawancara adik Mirza pada malam sebelumnya dirasakan bagai tidak cukup...Mirza kelihatan selesa dengan apa yang dilakukannya sekarang....
Mengenai kisah di Masjid Baiturrahman Banda Acheh ketika dilanda tsunami pada tahun 2004, Mirza berkata masjid ini juga digelar Serambi Mekah...Ketika ombak besar sedang menghempas kampung halamannya, air masih masuk ke dalam masjid ini tetapi keadaannya tenang dan tidak bergelora...Pada awalnya, terdapat hampir seribu orang berteduh di masjid ini akan tetapi ramai di antara mereka berasa tidak selamat...Lantas mereka pun berlari keluar meninggalkan masjid ini....Namun begitu, mereka yang berlari keluar dari masjid inilah telah menjadi sebahagian besar dari angka statistik kematian tragedi tsunami...Ramai di antara mereka yang lari dari masjid telah mati...Kayu-kayan dan rumah-rumah yang hanyut langsung tidak menyentuh tanah masjid ini melainkan hanya air laut sahaja ( seperti ditapis )....
Nota PH :
Lihatlah keadaan adik Mirza dengan diri kita...PH rasa, tidak perlulah PH nyatakan apa pengajarannya yang PH cuba sampaikan di sini....Bersyukurlah kerana kita hidup di dalam keadaan aman dan harmoni tanpa ada krisis ketenteraan, politik dan bencana alam...Kita masih mampu tersenyum tatkala sedang melayari internet, manakala adik Mirza teguh menanam azamnya untuk pulang ke kampung halaman dan membuka kedai jahit di sana...Semoga apa yang kita baca pada hari ini mampu membuatkan kita semua menjumpai titik perubahan di dalam hidup kita....Kalau kita rasa kita ni susah, ada orang hidupnya lebih susah dari kita...
Selepas menulis entri ini, PH ingin menjadikan adik Mirza sebagai mentor motivasi PH...Ketabahannya membuatkan PH amat terharu...PH tidak dapat membayangkan apa yang terjadi kepada PH sekiranya berada di tempatnya....Bersyukurlah yer...Jangan timbulkan sengketa...Usah dilihat seseorang itu di masa yang lalu, kerana hari ini dia telah berjaya kerana mempelajari kesilapan yang telah dilakukannya...Hargailah keamanan dan persahabatan walaupun kadangkala ianya hanya mungkin datang dan pergi....
Berikut adalah video imbasan kembali tragedi hitam tsunami di Banda Acheh, Indonesia...
sdih nya cerita mirza nie. xdpt bygkan kalau kena diri sendiri,,
ReplyDeletekalau tsunami mcm ni, cmne lah kiamat kn .. :(
sesungguhnya allah melindungi manusia yang tabah seperti mirza ini. amin . semoga abang mirza dapat mencapai impiannya untuk pulang ke tanah airnya.
ReplyDeleteMemang dia sgt2 tabah.. Mampu mengatasi trauma & kesedihan. Mungkin dia dari keluarga yg baik2 & ada asas agama..
ReplyDelete