Pemilik Mengabaikan Anjing Peliharaan Diserbu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor

Alhamdulillah...Dengan izin Allah SWT apa yang PH lakukan telah berhasil...PH yakin, kes-kes kucing dan anjing yang diabaikan oleh pemiliknya telah banyak berlaku di persekitaran kita...Justeru itu, siapakah yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab untuk tidak membiarkan gejala buruk ini dari berterusan...?? YA...!!!! Kitalah yang diamanahkan untuk menjalankan kewajipan bukan sahaja kepada sesama manusia, bahkan hatta kepada haiwan sekalipun...
PH telah menerima beratus-ratus emel yang meminta PH pergi ke sana ke sini untuk menyelesaikan kes-kes haiwan yang terabai ini...Tetapi, malangnya PH tidak dapat memenuhi permintaan kesemua aduan...Di dalam keadaan PH yang tidak berkapasiti dan tidak mempunyai sebarang kuasa, hampir mustahil untuk PH melakukannya...PH telah tegaskan beberapa kali, PH melakukan misi menyelamatkan haiwan ini adalah secara perseorangan...Kebanyakan kes-kes kucing yang PH selamatkan adalah secara kebetulan berlaku di depan mata, bukannya PH yang cari...PH juga mempunyai kerja yang hakiki yang perlu digalas...
Baiklah, susulan kes anjing yang diabaikan oleh tuannya ini ( KLIK SINI ), PH sendiri telah mengajukan aduan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor ( JPVS ) menerusi penulisan emel...Tidak sampai pun 24 jam emel ditulis, operasi serbuan telah dijalankan oleh mereka...Pada hari Selasa yang lepas ( 28 Ogos 2012 ), premis ini telah diterjah oleh JPVS...



Operasi yang dijalankan terdiri dari 4 orang anggota penguatkuasa....Ketika ini, premis tersebut agak lengang manakala pekerja warga Bangladesh sedang sibuk bekerja...


Salah seorang anggota penguatkuasa, Encik Hazizy ( kiri ) kelihatan menggelengkan kepala apabila melihatkan keadaan sangkar anjing yang kotor dan tidak terurus ini....


Kebiasaan seekor anjing, sekiranya ada orang asing menghampiri sangkarnya anjing tersebut akan menyalak dan marah...Tetapi anjing ini sudah tidak mampu bersuara lagi dan dia diam sahaja di tempatnya sambil menunjukkan isyarat mata yang terkebil-kebil...Kasihan sungguh melihatkan keadaannya...


Selang beberapa minit kemudian, pemilik anjing tersebut muncul setelah pekerja warga Bangladesh diarahkan oleh penguatkuasa JPVS untuk memanggilnya....Tiada sedikitpun perasaan takut atau kesal terpancar dari wajah pemilik anjing tersebut, malah masih mampu berpeluk tubuh lagi apabila bercakap dengan penguatkuasa JPVS...Mungkin dia tahu bahawa denda yang dikenakan tidak berat...


PH dimaklumkan oleh Encik Hazizy bahawa pemilik anjing tersebut memberi alasan anjing tersebut diletakkan di sana buat sementara waktu kerana kerja-kerja pengubahsuaian rumah sedang dijalankan...PH menegaskan bahawa sekiranya ia benar sekalipun, bukankah elok anjing tersebut dibiarkan lepas bebas di premis yang luas ini...? Ataupun setidak-tidaknya anjing ini ditambat di tempat yang lebih baik dan tidak ditimpa hujan...PH memberitahu bahawa ianya adalah alasan penafian semata-mata....Encik Hazizy memberitahu bahawa pemilik anjing ini akan diberi notis selama 7 hari untuk menggantikan rumah anjing ini ataupun memindahkannya ke tempat lain yang lebih terjamin kebajikannya....PH agak kecewa dengan keputusan tersebut, tetapi mungkin ianya adalah prosedur standard pihak jabatan...Mahu tidak mahu, PH akur sahaja dengan protokol tersebut...


Nota PH : 

Apa yang PH tunjukkan di sini bukanlah untuk mendabik dada...PH perlu membuat testimoni dan contoh kepada kalian semua bagaimana untuk berhadapan dengan situasi sebegini...Apa yang PH lihat, terlalu ramai masyaraat yang selalu mengharapkan orang lain tanpa berusaha menegahnya terlebih dahulu...Sebagai rakyat yang tidak berkapasiti dan tidak mempunyai kuasa, PH akui tenaga kita adalah terhad...Justeru itu, gunakanlah cara yang bijak dan ringkas mengikut kemampuan kita...Untuk membela nasib haiwan jalanan, wang bukanlah perkara pokok...Apa yang penting ialah usaha, kudrat dan semangat yang jitu sekiranya kita benar-benar prihatin terhadap haiwan jalanan...Kita mungkin boleh mengambil pilihan mudah iaitu menyerahkan isu-isu seegini kepada orang lain, tetapi bukankah lebih elok sekiranya kita melakukannya sendiri terlebih dahulu...??? Sekiranya tiada respon, mintalah bantuan dari agensi yang berkaitan...Jadilah seorang yang sayangkan bangsa dan agama di samping memelihara kedaulatan undang-undang...

PH dengan ini menyeru kepada kalian semua agar berani menampikan diri dan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan untuk sama-sama kita membanteras gejala yang kian berleluasa ini...Ramai di antara kita tidak perasan bahawa pengabaian haiwan peliharaan adalah SALAH DI SISI UNDANG_UNDANG dan boleh disabitkan di bawah Akta Binatang 1953 ( Pindaan 2006 ) Seksyen 44...Walaupun dendanya tidak berat, tetapi PH yakin perkara ini akan dibentangkan di Parlimen pada 2013 nanti ( rujuk kenyataan Dato' Seri Noh Omar ) di mana minimum denda ialah RM20,000...

Aduan hendaklah disalurkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut lokasi kejadian...Kalau kejadian berlaku di Semenyih, maka buatlah aduan kepada JPV Selangor...Untuk mengetahui alamat emel Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut negeri, boleh rujuk di sini ( KLIK SINI )

Berikut adalah penulisan aduan PH kepada Jabatan Veterinar Selangor menerusi emel :

* Perkara : Aduan Mengenai Anjing Yang Diabaikan Oleh Tuannya Di Semenyih

Saya merujuk perkara di atas dan tulisan artikel di blog saya : 
http://kakimotong.blogspot.com/2012/08/kasihankebajikan-anjing-malang-ini.html

Pada 25 Ogos 2012 lebih kurang jam 10.30 pagi, saya telah pergi ke sebuah premis di Semenyih di persimpangan lampu isyarat Jalan Bangi Lama ( sila rujuk gambar lokasi yang disertakan bersama emel ini dan di link artikel blog di atas ).

Setelah lebih sebulan pemerhatian, saya mendapati anjing ini gagal diurus dengan baik oleh tuannya. Saya telah mendapati :

1 ) Sangkar anjing amat kotor.

2 ) Anjing tidak dibekalkan makanan dan minuman.

3 ) Anjing kelihatan stress.
  
Pada justifikasi saya dan rakyat yang telah membaca artikel di blog saya, kami mendapati terdapat unsur-unsur kekejaman di dalam kes ini dan mengikut Akta Binatang 1953 ( Pindaan 2006 ) Seksyen 44, pemilik anjing ini boleh dikenakan tindakan.

Dan sehingga emel ini ditaip, keadaan anjing tersebut masih lagi sama, malah ianya menjadi semakin teruk akibat hujan lebat yang turun.

Justeru itu, saya amat berharap agar pihak agensi Tuan dapat melakukan siasatan dan tindakan yang sewajarnya terhadap pemilik anjing yang cuai ini. Untuk makluman, rakyat menunggu berita siasatan terperinci dari pihak Tuan.

Sekian, terima kasih.

Mohd Hairey Bin Yahya
I/C :
H/P :

Bersatu Melindungi Haiwan

Kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, PH dan rakyat mengucapkan SYABAS kerana pantas bertindak...Namun begitu, kami amat berharap agar ada tindakan susulan ke atas pemilik anjing ini selepas tamat tempoh notis selama 7 hari yang telah diberikan...

Lepas ni, kalian semua cuba buat sendiri...Mesti boleh punyalah...

Selamat Berjaya...

Comments

  1. Saye pun nak wat aduan ade kes seksa kucing tapi x tau salurannya. bole bg email jabatan veterinar selangor x

    ReplyDelete

Post a Comment

Entri Popular