Lelaki ditembak kerana serang anjing polis
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki ditembak mati oleh pihak berkuasa Stockton, utara California apabila menyerang anjing polis dan seorang pegawai polis dengan tukul besi, pada Selasa malam.
Lapor portal berita Associated Press, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia setelah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Stockton.
Menurut jurucakap pihak berkuasa Stockton, Joe Silva, pegawai itu tidak mengalami kecederaan dan anjing tersebut kini menerima rawatan dan dijangka sembuh tidak lama lagi.
“Pegawai kami menerima panggilan dari orang awam yang mengadu diganggu oleh lelaki mabuk di kawasan kejiranan mereka.
“Lelaki itu memusnahkan pelbagai harta berta di kejiranan tersebut dengan menggunakan tukul besi yang dibawa bersamanya,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.
Kata Silva lagi, lelaki tersebut telah diberi amaran awal untuk melepaskan senjata (tukul) yang dipegang namun lelaki itu dilaporkan enggan menurut arahan pihak berkuasa.
“Pegawai polis menggunakan pistol pegun ke atasnya namun ia gagal menghentikan tindakan amuk lelaki itu,” katanya lagi.
Jelasnya, melihatkan perilaku lelaki itu yang semakin agresif, anjing polis mula menyerangnya untuk menjatuhkan suspek ke lantai, namun anjing tersebut dipukul dengan tukul sehingga cedera.
Seorang anggota polis kemudiannya meluru ke arah anjing tersebut; menyebabkan suspek cuba menyerang pegawai polis tersebut.
Pegawai lain yang berada ditempat kejadian melepaskan tembakan ke arahnya bagi melindungi pegawai polis dan anjing tersebut.
Comments
Post a Comment