‘Magnet Cinta’ bawa erti sebenar cinta remaja

Hazayani Zakaria
Allah SWT menciptakan cinta ke dalam hati manusia agar kita menjadi hambaNya, dan khalifah di muka bumi ini untuk sama-sama memakmurkannya.
Selagi manusia menggunakan cinta untuk tujuan itu, selagi itulah cinta itu selamat dan memberi kebahagian kepada kita di dunia dan akhirat.
Itu antara intipati pengisian dalam Coffee Talk: Magnet Cinta yang disampaikan kolumnis terkenal beberapa majalah tanah air, Pahrol Mohd Joui di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) baru-baru ini.
Pahrol yang kini merupakan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. berkata, cinta yang sebenar adalah apabila kita mencintai Allah SWT lebih dari segala-galanya.
“Pertama, cinta kepada Allah. Inilah kebaikan. Cinta itu indah kerana yang mencipta cinta ialah yang maha indah.Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sebab itu jika seseorang itu tidak merasa indah dengan cinta, bukan cinta itu tidak indah, tapi kerana hati dia ada masalah,” katanya.
Ujarnya, seseorang yang tahu menggunakan cinta yang dianugerahkan Allah, akan menjadi seorang yang berjaya dan optimis dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Cinta itu kalau tepat pada masanya, tepat siapa yang kita cintai itu, ia adalah kuasa yang tidak dapat ditegah , tidak dapat dihalang dan tidak dapat dicegah.
“Kalau kita mencintai sesuatu yang baik maka kita akan terarah kepada kebaikan. Kita akan menjadi pejuang kepada kebenaran, dan tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada melaksanakan jihad dan kebenaran dalam kehidupan kita, iaitu cinta kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, remaja sering menyalah ertikan definisi cinta sehingga membiarkan diri mereka hanyut dalam hasutan syaitan yang sentiasa mehu memesongkan akhlak dan sahsiah mereka.'
“Cinta itu bukan tujuan, tapi hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi alat. Remaja harus tahu meletakkan cinta di tempat yang betul. Jika asyik dilamun cinta sesame manusia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, seorang anak, itu bukan cinta namanya. Islam tidak mengajar begitu,” katanya.
Coffee Talk: Magnet Cinta merupakan salah satu program dalam Kempen 'One Love: Love Enlighten The Darkness' yang dianjurkan sempena festival konvokesyen kolej berkenaan baru-baru ini.
Koordinator program, Nurul Syahirah Mohd Jamil berkata, kempen berkenaan memilih 'cinta' sebagai tema memandangkan ia satu subjek yang dekat dengan mahasiswa berusia 20-an dan dalam menerapkan soal cinta ke dalam diri mahasiswa, mereka harus meletakkan rasa cinta yang sebenar kepada pencipta, Allah SWT.\
"Sebelum kita mengenali diri sendiri, kita mesti mengenal Allah SWT dahulu," katanya.
Kempen anjuran Persatuan Khalifah Muda dengan kerjasama Persatuan Bahasa Arab dan Unit Kaunseling itu diadakan selama seminggu dengan diwarnai beberapa program menarik.
Selain Coffee Talk: Magnet Cinta, turut dipersembahkan kepada mahasiswa ialah tayangan video “Laskar Pelangi”, Musical Talk: ‘Atas Nama Cinta’ dan Teh Tarik and Nasi Lemak Discussion: ‘Dare to Love’.
Tayangan video ‘Laskar Pelangi’ berjaya menggamit minat hampir 80 orang penonton yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar kolej dan orang awam. Tayangan yang berlangsung kira-kira selama 2 jam 45 minit dilihat cukup bermanfaat dengan pengisian tentang zaman persekolahan dan perjuangan dua orang guru untuk mengekalkan sekolah tersebut daripada terkubur begitu sahaja.
Perbincangan menerusi program Teh Tarik and Nasi Lemak Discussion dalam suasana santai ala kopitiam juga berjaya menarik kehadiran mahasiswa.
Panelis yang dijemput juga merupakan panelis yang berpengalaman dan penyampaian mereka itu begitu dekat dengan remaja. Panelis bukan sahaja berpengalaman dalam mengendalikan masalah-masalah yang dibincangkan namun berdasarkan pengalaman mereka sendiri dan ini membuatkan para penonton begitu khuyuk dan yakin dalam menghadapi masalah mereka.
Sebagai rumusan kepada minggu kempen ini, remaja yang terlibat dan hadir ditekankan tentang erti cinta yang sebenar iaitu cinta yang paling agung adalah cinta pada Sang Pencipta, Allah SWT.

Comments

Entri Popular